IPOH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha
restoran berhubung isu sudut khas untuk perokok.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye bagaimanapun berkata, beliau masih berpendapat sudut khas itu tidak perlu.

“Pandangan saya, ini tidak digalakkan, lebih baik semua kita larangkan kawasan merokok di semua restoran.

“Tapi kita akan terus berbincang dengan pengusaha restoran-restoran berkenaan supaya mereka faham, harap mereka faham hasrat kementerian adalah untuk menjaga kesihatan rakyat semua,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong royong membasmi denggi di padang Medan Pengkalan Mutiara di sini, hari ini.

Baru-baru ini, beliau mengumumkan bahawa KKM akan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Bagaimanapun, cadangan itu dikatakan mendapat bantahan daripada pengusaha restoran yang mendakwa ia akan menjejaskan perniagaan mereka.

Dr Boon Chye berkata, larangan itu antara untuk mendidik rakyat bahawa merokok boleh memudaratkan kesihatan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak pernah menafikan hak perokok tetapi mereka juga mesti menghormati hak mereka yang tidak merokok.

Beliau menambah, kerajaan juga mengambil maklum bahawa pengusaha restoran yang tidak berhawa dingin meminta untuk mengadakan sudut khas untuk merokok.

“Cuma saya rasa ini tidak harus digalakkan kerana merokok ini tidak baik dan kita juga rasa lebih baik kita larang semua supaya pelanggan itu tidak ada pilihlah.

“Kalau mereka yang perlu merokok juga, dia ada pilihan yang lain untuk menahan ketagihan merokok seperti menggunakan nikortin, chewing gum dan sebagainya.

“Jadi secara prinsip saya juga rasa walaupun kita rasa perokok itu ada hak tetapi yang tidak merokok pun ada hak untuk dalam keadaan yang bebas daripada asap rokok,” ujarnya.