KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.

Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu berkenaan yang bermula Oktober 2017.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Mah Weng Kwai, berkata berdasarkan perbincangan panjang terhadap kedua-dua kes, panel terbabit mendedahkan bahawa individu atau kumpulan yang beroperasi dengan sokongan ejen negara terbabit dalam penculikan itu.

“Panel menganggap bahawa kehilangan paksa Amri dilakukan ejen-ejen kerajaan.

“Kehilangan Pastor Raymond Koh juga bukan kes kehilangan sukarela yang melanggar undang-undang jenayah biasa.

“Bukti arahan dan keadaan membabitkan kes Koh membuktikan bahawa dia diculik oleh Cawangan Khas, Bukit Aman,” katanya ketika membacakan laporan siasatan.

Weng Kwai adalah individu yang mengetuai barisan panel prosiding siasatan berkenaan.

Raymond diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.

Rakaman menunjukkan, ia dipercayai satu rancangan rapi membabitkan lebih daripada sepuluh lelaki dan tujuh kenderaan.

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.

Isteri Koh, Susanna Koh and isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, sejak beberapa bulan lalu menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas, mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit dalam kes kehilangan suami masing-masing.

Sebelum ini Norhayati dipetik berkata ada saksi ternampak lima kenderaan menghalang laluan kereta Amri, sebelum dia dibawa pergi, kira-kira 550 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis – Berita harian