KUALA LUMPUR: Hari Hak Asasi Manusia 2018 yang dijadualkan berlangsung esok akan diadakan pada hari Ahad ini di Padang Timur, Petaling Jaya.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail, berkata walaupun kecewa pihaknya akur terhadap nasihat yang dikeluarkan oleh pihak polis dan Pejabat Perdana Menteri.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara supaya menangguhkan sambutan berkenaan atas faktor risiko keselamatan.

“Namun saya tidak diberi maklumat lanjut berhubung risiko yang akan berlaku. Sebelum ini kami tidak mendapat sebarang ugutan atau ancaman,” katanya pada sidang media di Pejabat SUHAKAM di sini, hari ini.

Razali berkata, pihaknya kini sedang menunggu surat pemakluman penangguhan daripada Pejabat Perdana Menteri.

“Mereka juga sudah memberitahu Perdana Menteri tidak dapat hadir dan menasihatkan kami supaya menangguhkan sambutan berkenaan.

“Kami tetap tidak berpuas hati kerana sambutan ini sudah dirancang sejak berbulan lalu dan ia disambut setiap tahun sejak 17 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph, berkata sambutan pada tahun ini adalah kali pertama diadakan di kawasan terbuka.

“Sambutan ini adalah karnival bagi memperingati hak asasi manusia dan ia bukan perhimpunan.

“Jadi saya tidak tahu kenapa risiko keselamatan menjadi sebab untuk kami tangguhkan sambutan kali ini. Namun kami akur dan akan mengadakan sambutan ini pada hari Ahad di tempat sama dan masa yang sama,” katanya – berita harian