Georgetown: “Saya minta maaf…tolong lepaskan saya.” Itu rayuan seorang pelacur selepas cubaannya melarikan diri gagal apabila sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang melakukan serbuan di pusat urut dan beberapa hotel murah sekitar negeri ini, Jumaat lalu.

Pelacur warga asing itu hanya berseluar dalam ‘bersujud’ kepada anggota imigresen supaya melepaskannya, namun rayuannya itu tidak diendahkan.

Pelacur warga asing terbabit dikesan menjadikan pusat urut dan hotel murah sebagai lokasi menjual tubuh dengan harga ditawarkan kepada pelanggan serendah RM50 hingga RM150.

Ketika serbuan, ada antara mereka asyik melayan pelanggan dan cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri, Khwaja Banthey Navaz Mohamed Haneef berkata, dalam Op Ikrar bermula jam 12 tengah hari itu, 27 individu ditahan.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil intipan dan risikan pihaknya yang mendapati pekerja di premis terbabit menyalahgunakan pas pekerja mereka.

“Dalam serbuan itu, kami menahan 27 warga asing, masing-masing 11 wanita dan seorang lelaki Thailand, enam lelaki Bangladesh, empat wanita Vietnam, empat wanita China dan seorang wanita Myanmar.

“Pemeriksaan awal mendapati golongan pelacur ini menawarkan ‘khidmat’ mereka pada harga serendah RM50. Ada antara mereka cuba melarikan diri dalam keadaan tidak lengkap berpakaian ketika serbuan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, mereka dihantar ke Depot Tahanan Juru untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 372 dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 38B Peraturan Imigresen 1959/63 – hmetro