Oleh: Aida Aziz

IPOH: Bunyi unik dari setiap ketukan huruf pada mesin taip atau typewriter mengimbau kenangan kepada era sebelum komputer dan gajet digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian.

Namun, bagi penulis surat rayuan, R. Vellu, 65, ia tetap menjadi pilihan lelaki itu, apatah lagi tempoh 54 tahun ‘bersahabat’ dengan mesin taip menjadikan peralatan tersebut sebati dengan dirinya.

Meskipun mesin taip tidaklah secanggih komputer masa kini yang dilengkapi dengan butang delete ataupun enter, warga emas itu kekal memilih mesin taip sebagai mata pencariannya.

Berbekalkan mesin taip usangnya, kerusi dan meja, Vellu memulakan perkhidmatan menaip surat-surat di Jalan Dato’ Sagor berdekatan dengan Masjid Negeri, pada kebiasaannya bermula seawal jam 11 pagi dan berlarutan sehingga 2 petang.

“Selalunya saya akan menaip surat-surat rasmi atau urusan pejabat dan mahkamah. Mereka yang datang akan menyertakan draf atau contoh untuk saya taip.

“Kadangkala mereka hanya memberitahu isi-isi kandungannya secara ringkas dan saya sendiri sudah tahu ayat apa yang perlu dikarang,” katanya yang merupakan sebilangan kecil saki baki penulis surat rayuan yang masih beroperasi di bandar raya ini.

typewriter

Vellu yang berasal dari Ipoh menyatakan, pendapatannya tidaklah lumayan dan bergantung kepada cuaca, memandangkan dia hanya berteduh di bawah pokok dari terik matahari.

Jika hari hujan, dia terpaksa pulang dengan tangan kosong.
Walaupun mesin taip tidak dilengkapi dengan butang delete, Vellu memberitahu, terdapat alat khas yang digunakan untuk membetulkan perkataan yang silap ditaip, tetapi hanya pada kesalahan yang tidak terlalu ketara.

Bagi yang kurang arif tentang cara ia digunakan, mesin taip merupakan peranti elektromekanik dengan set kekunci yang apabila diketuk (ditekan bertalu-talu dengan pantas) menyebabkan huruf-huruf dicetak pada kertas.

Sehingga akhir abad ke-20, mesin berkenaan dilengkapi dengan hentaman logam dan kemudiannya berevolusi kepada unsur jenis plastik berlogam pada jalur berdakwat, yang menyebabkan dakwat melekat pada kertas.

Keunikan yang ada pada mesin tersebut ialah ia sesuai bagi kegunaan jangka panjang di tempat yang tiada kemudahan asas elektrik.

Mesin taip boleh digunakan tanpa eletrik, dengan itu amat berguna sekiranya anda ingin menulis novel di kawasan terasing yang tiada perkhidmatan elektrik.

“Biasanya, harga sekeping surat diletakkan antara RM 10 hingga RM 20 tetapi sekarang tak ramai yang menggunakan perkhidmatan ini sebab mereka lebih cenderung menggunakan contoh dalam talian, ambil isi kandungan yang ada, cuma tukar nama dan tarikh sahaja,” katanya.

Menurut Vellu lagi, perkhidmatan penulis petisyen sepertinya yang dahulunya menjadi tumpuan pelanggan di sekitar bangunan Mahkamah Majistret dan Tinggi Ipoh, kini tidak lagi semeriah seperti sebelumnya.

Bahkan, katanya, ada di antara generasi kini tidak lagi mengenali apa itu mesin taip memandangkan komputer dan gajet lebih mendominasi dari segi penyaluran maklumat dan aplikasi.

“Bayangkan saya buat kerja ini sejak muda sampai sekarang, tak tahulah sampai bila boleh meneruskannya.

“Sekarang pun saya buka pagi dan tutup dalam jam 1 atau 2 petang. Bergantung juga pada cuaca, kalau hujan memang kena tutup sebab tiada payung dan hanya berteduh di bawah pokok,” ujarnya.