SERI MANJUNG – Persatuan Penternak Ayam Manjung meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) meneruskan pemberian lesen penternakan ayam kepada pengusaha baharu dan memudahkan pembaharuan lesen bagi pengusaha lama.

Pengerusinya, Datuk Ding Ching Chow berkata, permintaan terhadap daging ayam amat tinggi, namun disebabkan masalah pembaharuan lesen serta lesen tidak dikeluarkan menyebabkan sesetengah pengusaha terpaksa melupakan niat mereka untuk menternak ayam.

Menurutnya, PBT mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen penternakan kerana masalah pengurusan reban ayam yang kurang efisien hingga membawa pencemaran dan masalah lalat di daerah Manjung.

“Kita sebagai pengusaha ternakan boleh bekerjasama dengan pihak terlibat untuk mematuhi syarat ditetapkan iaitu mengamalkan reban tertutup, namun haruslah mengambil masa sedikit.

“Ini kerana ia melibatkan kos tertentu dan pastinya perkara itu memakan masa untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, apabila syarat ditetapkan PBT tidak dipatuhi, penternak sukar untuk memperbaharui lesen dan lesen baharu tidak lagi dikeluarkan.

“Perkara ini boleh menjejaskan industri pembekalan ayam dan ia boleh merugikan sesetengah pihak sedangkan permintaan terhadap ayam amat tinggi.

“Jadi kami harap ada pertimbangan daripada pihak berkenaan agar mengeluarkan lagi lesen baharu serta memudahkan pembaharuan lesen bagi memastikan industri ini akan terus berkembang.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkenaan untuk mematuhi syarat ditetapkan untuk sama-sama memastikan daerah Manjung sentiasa indah dan bersih, namun berilah kami sedikit masa lagi untuk memperbaharui reban yang ada,” katanya.

-SinarHarian