IPOH 24 Mei – Ramadan memberi ruang kepada banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif melakukan kerja amal bagi membantu golongan yang memerlukan.

Pertubuhan Aman Wardah misalnya mengambil langkah sama apabila menjayakan program Cakna Ramadan menziarahi 10 keluarga asnaf termasuk ibu tunggal dan pesakit kronik di sekitar bandar ini.

Pengerusinya, Azana Rita Abd. Aziz berkata, beliau bersama 11 ahli persatuan itu menziarahi keluarga asnaf antaranya di Kampung Tengku Hussein Lama, Manjoi, Klebang, Meru, Chemor, Taman Perpaduan, Bercham Raya dan Tambun.

Menurut beliau, setiap keluarga yang diziarahi menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan harian dan duit raya yang kesemuanya berjumlah RM200.

“Kami mengambil inisiatif untuk bersikap ambil peduli mengenal pasti keluarga asnaf termasuk warga emas yang memerlukan bantuan dan menziarahi mereka untuk bertanya khabar.

“Usaha kecil ini diharap dapat meringankan beban para penerima terutama dalam membantu persediaan mereka untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

Azana Rita memberitahu, sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan daripada ahli-ahli pertubuhan itu selain beberapa orang dermawan.

“Aman Wardah ditubuhkan pada tahun 2014 bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan manakala ahli-ahlinya pula terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya.

“Kami menjadi saluran bagi mereka yang ingin bersedekah tetapi tiada masa atau tidak tahu mencari penerima yang sesuai,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE