IPOH: Perak menjadi negeri pertama yang akan memberi peluang kepada kesemua rakyat negeri ini melihat dan merasai sendiri kemeriahan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, Perak akan menggunakan konsep satu acara, satu daerah dalam penganjuran temasya sukan dwi tahunan itu yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

“Untuk pertama kalinya, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah menetapkan ia diadakan di semua daerah di negeri Perak.

“Walapun dari segi logistiknya ia merupakan satu cabaran kepada kita dan pasukan-pasukan yang bertanding, tetapi beliau mahukan rakyat Perak merasai SUKMA.

“Kalau kita buat di Ipoh sahaja, orang-orang di luar bandaraya ini mungkin tidak merasai kemeriahan SUKMA, jadi kita mengambil ketetapan sekurang-kurangnya satu jenis sukan di setiap daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutup Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Perak kali ke-20 di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Ipoh pada Sabtu.

Tambah beliau, pihaknya juga yakin kesemua venue yang akan digunakan seluruh negeri ini akan siap sepenuhnya dan sedia untuk digunakan menjelang tahun hadapan.

“Bukan semua benda kita akan bina baharu, itu satu kelebihan negeri ini di mana fasiliti-fasiliti sukan itu kebanyakkan daerah telah pun wujud.

“Jadi yang sedia ada itu akan kita naiktaraf infrastrukturnya bagi memastikan keselesaan kepada pengunjung serta atlit pada temasya akan datang,” jelas beliau.

Beliau turut memberitahu kerja-kerja pembinaan baharu, naiktaraf venue-vanue sukan yang akan digunakan SUKMA telah pun bermula dan pelaksanaanya tidak menghadapi sebarang masalah.

“Projek-projek tidak ada yang tertunda kecuali di Stadium Perak yang dianjakkan pelaksanaannya kerana kita mahu habiskan dahulu Liga Super.

“Bagaimanapun, ada kerja-kerja sudah dimulakan yang tidak mengganggu dan mendatangkan masalah risiko keselamatan penonton di Stadium Perak,” ujarnya.