IPOH– Perak mensasarkan dua pungutan pingat emas bagi kontinjen bola baling di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 pada September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Insan, Howard Lee Chuan Chow yakin kontinjen bola baling Perak mampu mencipta kejayaan berhadapan kontinjen lain bersandarkan prestasi yang cemerlang sebelum ini.

“Kami dimaklumkan bahawa pasukan wanita bola baling untuk lima kejohanan terakhir yang disertai mereka, lima dimenangi dan johan untuk kelima-limanya.

“Tidak ketinggalan juga buat pasukan lelaki yang memenangi satu kejohanan, apa pun kita bakar semangat mereka untuk berusaha mencipta lebih banyak kejayaan.

“Jadi alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, pada SUKMA 11 hingga 22 September nanti biar kita menang enam daripada keseluruhannya,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian jersi korporat bola baling Perak diĀ  Unit Sukan Jabatan Pendidikan Perak, di sini pada Khamis.

Yang turut sama Pengarah Urusan Syarikat Kumpulan Mimbar Nusantara, Nazrin Cheong Abdullah serta wakil dari Majlis Sukan Negeri Perak.

Nazrin selaku bekas Ketua Pasukan bola baling Malaysia selama 13 tahun berpendapat tajaan itu merupakan kerjasama bagi membantu kontinjen bola baling Perak memenangi pingat emas di SUKMA 2018.

“Kita mahu memberikan semangat kepada pemain untuk menang pingat emas untuk negeri Perak, ia juga simbolik penghargaan buat kerajaan negeri dan Persatuan Bola Baling Perak bagi peluang untuk saya menyumbang dalam pembangunan sukan ini,”kata Nazrin.

Terdahulu, Howard menyampaikan jersi korporat kepada pemain bagi kategori pasukan lelaki dan wanita yang akan berentap pada SUKMA 2018.

Kali terakhir kontinjen bola baling Perak memenangi kejohanan ketika SUKMA 2013 di Kuala Lumpur, selain memenangi beberapa kejohanan seperti di Pulau Pinang, Putrajaya dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).