Oleh:Nazialita Geynna Maharan

 

IPOH: Kerajaan negeri Perak menerima sumbangan tajaan berjumlah lebih RM12 juta daripada 13 syarikat korporat bagi menjayakan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Perak ke 19, menjelang September depan.

Antara penaja utama dalam penganjuran sukan kebangsaan tersebut termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Al-Ikhlas dan Tan Chong Group.

Penaja rasmi lain termasuklah Sanyu Sdn Bhd, Empayar Indera Sdn Bhd, KL Teh Land&Development Sdn Bhd, Petronas, Rizzs Trading Sdn Bhd.
Turut menaja, Asia Pasific Sport Sdn Bhd, Palace Vacation Club, Oratis RX Sdn Bhd dan GB Kuari.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, mewakili kerajaan Perak, pihaknya berbesar hati menerima sumbangan tajaan berkenaan.

“Pihak kerajaan negeri amat mengalu-alukan pihak swasta yang ingin menjadi penaja kepada Sukma ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Wrapup promosi Sukma Perak di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Ipoh,di sini, hari ini.

Sukma kali ke-19 yang bakal berlangsung pada 12 hingga 22 September depan merupakan kali kedua buat negeri Perak dalam tempoh 24 tahun.

Mempertandingkan 29 jenis sukan melibatkan 12 daerah di seluruh negeri dengan penyertaan lebih 9,000 atlet.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan Perak kali ini berkolaborasi dengan KTMB bagi tujuan promosi di perkhidmatan ETS laluan Gemas ke Padang Besar.

Katanya, kontrak selama satu tahun bagi satu ETS melibatkan enam koc itu bagi membantu mempromosikan Sukma 2018 serta mengalukan kehadiran orang ramai berkunjung ke tempat menarik yang ada di negeri ini.

“Kerjasama ini hanya satu perkara daripada apa yang kita lakukan, selepas ini akan ada lagi pihak-pihak lain menjalin usaha sama dengan kerajaan negeri bagi tujuan promosi yang sama,” katanya lagi.

Tambahnya,pemilihan promosi di ETS adalah tepat memandangkan perkhidmatan itu menjadi antara pengangkutan utama di Perak.

Menurutnya,sebanyak 1.48 juta pengguna harian ETS dicatatkan pada tahun lepas peningkatan hampir 150,937 penumpang berbanding tahun sebelumnya.

“Perkembangan perkhidmatan ini memberi impak positif kepada kerajaan negeri dan pengusaha sektor pelancongan,” ujarnya lagi.