PARIT BUNTAR – Teka-teki projek menaik taraf Padang Bandaran Parit Buntar, di sini menjadi padang bola sepak berasaskan rumput sintetik bagi digunakan sebagai venue acara bola sepak Sukan Malaysia(Sukma) 2018 akhirnya terjawab.

Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, berdasarkan perkembangan terkini kemajuan projek itu, pihaknya yakin penggunaan padang bersejarah itu bagi venue Sukma 2018 akan dikekalkan.

Setakat ini, beliau berpuas hati dengan komitmen kontraktor dilantik bagi menyiapkan projek berkenaan mengikut waktu ditetapkan, di samping pemerhatian khusus diberikan Perunding Sekretariat Sukma 2018, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

“Kita melihat memang ada kerancakan dalam projek menaik taraf Padang Bandaran dengan kerajaan negeri Perak kini sedang mengejar masa bagi memastikan venue Sukma itu akan diserahkan kepada Sekretariat Sukma 2018 pada 20 Ogos ini.

“Pada 10 Julai ini, wakil Badan Persekutuan Bola Sepak Dunia(FIFA) akan hadir bagi menilai sejauh mana padang itu boleh digunakan bagi kegunaan pertandingan rasmi bertaraf antarabangsa.

“Justeru, pada peringkat awal, sebelum 10 Julai kita akan memastikan keseluruhan struktur padang bola berasaskan rumput sintetik itu dapat disiapkan berserta penyediaan lampu limpah,” katanya sewaktu melawat tapak projek menaik taraf Padang Bandaran Parit Buntar, di sini pagi tadi.

Turut hadir Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri, Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kerian, Helmi Jusoh dan wakil Jabatan Kerja Raya(JKR) Kerian.

Hasnul Zulkarnain berkata, pihaknya mengakui sebelum ini Exco Belia dan Sukan, Howard Lee amat gusar dan susah hati dengan kemajuan projek menaik taraf padang itu sehingga timbul ura-ura venue acara bola sepak Sukma 2018 itu akan dipindahkan ke daerah lain.

Menurutnya, bagi memastikan acara utama Sukma itu kekal dianjurkan di daerah Kerian, pihaknya merayu kepada Exco Belia dan Sukan itu untuk memberi ruang kepada kontraktor dilantik di samping memberi penekanan supaya mereka mempercepatkan persiapan projek terbabit.

“Jika tiada halang, saya menjangkakan padang itu akan dapat disiapkan sepenuhnya berserta kemudahan astaka dan tempat duduk penonton dalam tempoh sebulan.

“Bagi kegusaran tapak parkir kenderaan, kita akan serahkan tanggungjawab menguruskannya kepada polis dan pihak berkuasa tempatan.

“Memang ada kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku kesesakan lalu lintas, namun kita percaya pasti ada jalan penyelesaian,” katanya – sinar