LUMUT 18 Julai – Kerja baik pulih dan menaik taraf Stadium Manjung di sini yang menjadi venue untuk acara bola sepak pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, kerja baik pulih dan naik taraf stadium ini kini di peringkat akhir dan telah siap lebih 90 peratus.

“Setelah berbincang dengan pihak kontraktor dan sub-kontraktor, kerja-kerja naik taraf stadium ini dijangka selesai dalam tempoh 10 hari.

“Setakat ini kerja-kerja fizikal hampir selesai sepenuhnya seperti pemasangan tempat duduk penonton dan pentas utama, cuma kerja-kerja penurapan jalan belum lagi selesai,” katanya selepas meninjau Stadium Manjung di sini hari ini.

Howard Lee berkata, kerja menaik taraf stadium tersebut berlaku sedikit kelewatan berikutan masalah dalaman yang tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, bagaimanapun perkara itu telah diselesaikan dengan komitmen pihak kontraktor dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebagai pemilik tapak.

Katanya, sebaik sahaja stadium itu diserahkan sepenuhnya kepada MPM yang merupakan salah satu penyelaras venue Sukma, padang stadium akan diuji termasuk kualiti rumput, lampu limpah dan sebagainya bagi memastikan semuanya dalam keadaan baik dan selamat.

“Kita juga akan memanggil Sekretariat Sukma dan juga Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) untuk menguji kualiti padang tersebut,” katanya.

Projek menaik taraf stadium tersebut menelan kos sebanyak RM16 jutadengan menambah kapasiti penonton daripada 5,000 sehingga 12,000 orang.

Pada awalnya, Stadium Manjung dijadualkan siap sepenuhnya Januari 2018 lalu dan akan digunakan sebagai venue utama bagi acara bola sepak pada Sukma pada bulan September ini. – UTUSAN ONLINE