IPOH: Perak berazam untuk mempertahankan kemenangan pingat emas dalam acara sukan bola sepak menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 yang akan bermula pada 12 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia,Sukan dan Pembangunan Modal Insan, YB Howard Lee Chuan How berkata emas merupakan fokus utama pasukan bolasepak Perak selepas merebut gelaran itu pada 2002, 2014 dan terbaru pada tahun 2016.

Malah beliau yakin bahawa sasaran itu bakal dicapai dengan pembentukan kesebelasan barisan utama negeri daripada gabungan pemain terbaik Perak.

“Satu program jalinan kerjasama di antara Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) akan menyaksikan pasukan bola sepak SUKMA 2018 dibarisi oleh pemain-pemain terbaik daripada beberapa pasukan pelapis mereka.

“Ianya adalah pasukan Piala Presiden Bawah 21, pasukan Piala Presiden PKNP FC Bawah 21, pasukan Belia B Negeri Perak bawah 19 serta pasukan Belia PKNP bawah 19 tahun,”katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Bilik Sidang Media, Stadium Perak, dekat sini hari ini.

Howard berkata, gabungan terbaik itu dijangka berupaya memperkukuhkan struktur organisasi SUKMA Perak secara keseluruhan dalam usaha mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam kejohanan sebelum ini pada 2016.

“Ini adalah yang terbaik, daripada yang terbaik dari pasukan kita, kita telah bersiap sedia untuk memenangi emas dalam kejohanan SUKMA kali ini,”katanya lagi.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu, Datuk Bandar Ipoh,Datuk Zamri Man serta perunding SUKMA 2018, yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.