IPOH: Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang akan diadakan di semua 12 daerah di negeri Perak, September ini dijangka menjadi acara sukan paling meriah setakat ini.

Ia berdasarkan peruntukan berjumlah RM225 juta yang disalurkan kerajaan Persekutuan untuk pembangunan infrastruktur (RM160 juta) serta penganjuran dan pengurusan (RM65 juta)

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, selain tambahan peruntukan daripada kerajaan negeri sendiri, banyak pihak swasta tampil untuk memberi sumbangan dalam bentuk wang tunai dan tajaan barangan.

Menurut beliau, setakat ini, pihak penganjur telah menerima sebanyak RM823,000 sumbangan wang tunai dan RM3.2 juta dalam bentuk tajaan barangan.

“Bagi pihak kerajaan negeri saya juga ingin mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada penderma-penderma ini.

“Ini adalah satu usaha yang baik, sama-sama kita meningkatkan sokongan kepada SUKMA atau perkembangan sukan itu sendiri dan saya menggalakkkan orang ramai untuk terus menyumbang agar dapat pastikan Sukan Malaysia yang akan kita anjurkan adalah sukan yang paling meriah setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberia selepas menerima sumbangan RM100,000 daripada wakil syarikat KL Teh Land & Development Sdn Bhd di pejabatnya di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal;Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, YB Howard Lee Chuan How dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan negeri, YB Tan Kar Hing.

YAB Ahmad Faizal berkata, syarikat-syarikat korporat boleh terus menghulurkan sumbangan mereka sebelum SUKMA berlangsung pada September.

Sementara itu, Howard Lee berkata, selain membantu pembangunan sukan di negeri ini dan melahirkan atlet bertaraf dunia, penyumbang juga boleh mendapatkan pelepasan cukai di samping mempromosi syarikat mereka melalui pelbagai media.