IPOH – Kerajaan negeri Perak berharap penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 kali ini akan menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat atlet baru untuk mewakili negara pada masa hadapan.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, ianya penting bagi menyambung obor perjuangan atlet-atlet senior di peringkat antarabangsa untuk terus mengharumkan nama negara.

“Dengan pembinaan kemudahan sukan yang baharu dan prasarana yang telah ditambahbaik, kerajaan negeri menaruh setinggi-tinggi harapan agar temasya SUKMA ke-19 ini akan menjadi pentas mencungkil bakat-bakat baru negara untuk menyambung obor perjuangan atlet-atlet senior di peringkat antarabangsa.

“Kita mengharapkan penantian kilauan emas Sukan Olimpik akan digenggam dari bintang yang bakal lahir dari temasya SUKMA ke-19 ini,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian SUKMA ke-19 Perak di sini sebentar tadi.

Majlis perasmian yang diadakan di Stadium Perak di sini itu, telah dirasmikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Bercakap mengenai pemilihan logo rasmi dan slogan Sukma kali ini, beliau memberitahu ia dipilih berdasarkan beberapa elemen yang penting untuk negeri Perak.

“Pertama adalah elemen manusia yang mewakili semangat juang para atlet untuk mencapai kejayaan.

“Elemen kedua iaitu gelombang air yang melambangkan Sungai Perak yang menjadi nadi kepada keperluan asas dua juta penduduk Perak.

“Slogan rasmi SUKMA Perak iaitu “WOW” pula merujuk kepada “World of Wonders” iaitu pengiktirafan daripada Lonely Planet kepada keindahan flora dan fauna Perak serta warna-warni masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mewakili tuan rumah juga turut mengambil kesempatan menjemput semua atlet, pegawai dan penyokong yang bertanding untuk mengambil kesempatan melawat destinasi-destinasi pelancongan sambil menikmati keindahan semulajadi di negeri Perak.

SUKMA 2018 yang bermula esok (12 Sept) menyaksikan sebanyak 427 pingat emas melibatkan 29 jenis sukan dipertandingakan dengan 39 vanue di seluruh 12 daerah seluruh Perak.

Seramai 14,000 atlet dan pegawai akan berkampung di negeri ini untuk merebut pingat-pingat yang ditawarkan sepanjang temasya dwi tahunan terbabit.