IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melancarkan Sukan Malaysia (SUKMA) XIX 2018 dengan hasrat untuk menjadi penganjur terbaik dan sukan paling viral, selain mencipta sejarah menjadi juara keseluruhan pertama kali.

Bertemakan Wow! Kita Hebat!, Dr Zambry turut melancarkan logo, maskot ‘Chor’, sosial media rasmi dan lagu rasmi bertajuk Wow Kita The Greatest ciptaan Datuk Wah Idris.

Dr Zambry yakin, Perak mampu menjadi juara keseluruhan dengan sasaran 70 pingat emas sekiranya setiap pegawai dan atlet mempunyai keazaman, keyakinan serta disiplin yang tinggi.

“Perak melahirkan ramai atlet yang mewakili negara yang cemerlang di persada antarabangsa dan saya percaya kita juga boleh berjaya atau setidak-tidaknya memberi saingan kuat dalam pungutan pingat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran.

SUKMA_XIX 3

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk S. Thangeswary, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya, barisan Exco kerajaan negeri dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Sapawi Ismail.

Perak pernah menjadi tuan rumah pada 1994 dan pencapaian terbaik memungut 49 pingat emas, kedua terbanyak selepas Selangor, di Sabah pada 2002.

SUKMA XIX akan berlangsung pada 12 – 22 September depan, melibatkan 26 sukan dan 369 acara dengan kira-kira 11,000 pegawai dan atlet daripada 14 kontinjen dari seluruh negara.

Dr Zambry berkata, setiap daerah akan menjadi tuan rumah sekurang-kurangnya satu acara, bagi memberi peluang rakyat seluruh negeri merasai kemeriahan sukan dwi tahunan itu.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat mengambil peluang untuk bersama-sama menyaksikan acara sukan yang akan diadakan di tempat masing-masing.