BUTTERWORTH : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata, masalah perkahwinan kanak-kanak dalam kalangan orang Islam dapat diselesaikan melalui Majlis Raja-raja.

Beliau berkata, banyak negeri yang menerima idea mengharamkan perkahwinan kanak-kanak, tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakannya kerana tertakluk kepada undang-undang negeri.

Ini kerana, katanya, sesetengah negeri berpendapat ia tidak wajib dan kebenaran berkahwin dengan orang dewasa harus bergantung kepada keadaan.

Beliau berkata, asas kepada alasan itu adalah autonomi yang diberikan kepada semua negeri dalam hal berkaitan undang-undang Islam.

“Kami telah bercakap kepada semua Majlis Islam negeri untuk mengehadkan perkahwinan di bawah umur, tetapi ada beberapa negeri yang tidak mahu melaksanakannya.

“Nampaknya, sesetengah negeri tidak mempunyai keinginan untuk berbuat demikian, kecuali Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan beberapa negeri lain. Akhirnya, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkannya bagi melindungi kepentingan rakyat lebih besar.

“Sekiranya Majlis Raja-raja memutuskan perkara ini (larangan perkahwinan kanak-kanak), majlis serta jabatan agama Islam negeri akan mematuhi keputusan itu,” katanya selepas melancarkan buku bertajuk “Rahmah” yang dihasilkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.

Mujahid berkata, cara lain meyakinkan negeri bagi melaksanakan larangan perkahwinan bawah umur ialah melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang diadakan 3 kali setahun.

Katanya, majlis itu yang diketuai perdana menteri boleh meyakinkan menteri besar, exco hal ehwal Islam dan ketua majlis agama kenapa larangan itu perlu dikuatkuasakan.

Sementara itu, Mujahid berkata, gesaan mengharamkan penjualan dan meminum arak di tempat awam “tidak pelik” dan mempunyai kebaikan dalam menangani masalah pemandu mabuk.

Beliau berkata, masyarakat tidak boleh melihat gesaan itu dari sudut agama kerana ia memberi manfaat kepada seluruh masyarakat amnya.