KUALA KANGSAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah  menyempurnakan majlis Anugerah Kecemerlangan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 2018 di Auditorium Tun Abdul Razak, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda di­iringi Exco Kerajaan negeri, Dr Abdul Aziz Bari dan Exco Kerajaan negeri Kedah, Sultan Kedah berangkat ke majlis anugerah MCKK Datuk Dr Ismail Salleh.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Gazali Jalal; Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mat Lazim Idris dan Pengetua MCKK, Anand Baharuddin.

Pada majlis itu, Sultan Sallehuddin  menyampaikan anugerah kepada 145 pelajar cemerlang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.

Baginda turut menyampaikan anugerah kepada sembilan pelajar cemerlang di bawah program Diploma International Baccalaureate (IB) serta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Sultan Sallehuddin juga menyampaikan empat anugerah utama iaitu Anugerah Carey kepada Eizad Arian Sazmal Effendi, Anugerah Pengetua kepada Anwar Azmin, Muhammad Hani Rahimi Rusleen (Anugerah Kepimpinan) serta Muhammad Izz Aniq Mohammad Fariz (Anugerah PIBG).

Dua lagi penerima anugerah utama iaitu Muhammad Syazani Suhaimi (Anugerah Hasanal Bolkiah) dan Adam Emir Izzat Khairil Anuar (Anugerah MCOBA) tidak dapat hadir atas komitmen lain.

Dalam ucapannya, Anand berkata, dalam penilaian prestasi akademik sepanjang 2017, MCKK menerima pengiktirafan sebagai sekolah berasrama penuh lima bintang.

Katanya, berbeza dengan sekolah asrama penuh lain, pelajar MCKK menduduki tiga peperiksaan awam.

“Peperiksaan awam ketiga adalah penilaian diploma IB iaitu satu program pengajian pra universiti yang dilaksanakan di MCKK sejak lapan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, gabungan pendekatan IB dengan kemahiran digilap melalui amalan Sekolah Amanah berupaya meningkatkan kemahiran guru untuk membimbing pelajar menjadi lebih kreatif, kritis dan reflektif – sinar