IPOH: Sultan Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, mendahului senarai 331 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-61.

Tunku Sallehuddin yang dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah Ke-29 pada 12 September lalu, dianugerahkan Darjah Kerabat (DK).

Dua penerima akan dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Kamil Jami.

Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima akan dikurniakan kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Darjah Dato Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan pula akan disampaikan kepada empat penerima, antaranya ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak, Datuk Rusnah Kassim dan Datuk Samsudin Abu Hassan.

Sementara itu, seramai 23 individu menerima gelaran Datuk iaitu tiga penerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) Dan 20 penerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP).

Antara penerima anugerah DPMP ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, S Thangasvari; Pengarah Pendidikan Perak, Mat Lazim Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Dr Amiruddin Muhammed.

Dalam pada itu, pemenang pingat emas dan pemegang rekod acara lompat kijang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Muhammad Hakimi Ismail dan pemain bola sepak Perak, Mohamad Nasir Basharudin menjadi antara 65 penerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).

Turut menerima darjah kebesaran itu ialah bekas atlet olahraga yang pernah bertanding di Sukan Olimpik Seoul 1988, Josephine Mary dan pemenang pingat emas rejam lembing Sukan SEAP 1961 di Myanmar, Ng Kah Liew.

Bagi darjah kebesaran lain termasuk empat penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 28 menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 10 menerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM).

Penerima pingat pula terdiri daripada 92 penerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 96 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan empat menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran akan disempurnakan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Ahad ini.