PUTRAJAYA : Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan pembebasan seorang ahli perniagaan yang menggelar sultan Melaka daripada 4 tuduhan menipu.

Noor Jan Tuah didakwa menipu Zaamat Md Idris, Mokhtar Md Yusof, Ahmad Zainudin Abdul Hamid dan Hazizi Ikhwan Zaamat untuk percaya dia sultan Melaka pada satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Melaka pada 28 Dis 2013.

“Kami dapati rayuan ini tiada merit untuk mewajarkan campurtangan mahkamah,” kata Hakim Yaacob Md Sam.

Hakim lain dalam panel itu adalah Rhodzariah Bujang dan Hadhariah Syed Ismail.

Mahkamah Sesyen Melaka membebaskan Noor Jan pada Julai 2018, keputusan yang dikekalkan Mahkamah Tinggi tahun lepas

Tuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 7 tahun dan denda.

Peguamnya Shaharudin Ali berkata mereka yang didakwa mangsa dalam kes itu mengaku mereka tidak ditipu.

“Ia mengejutkan kami,” tambahnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mangaiarkarasi Krishnan mewakili pendakwaan.