IPOH– Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri di hadapan Dewan Bandaran, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini pada Jumaat.

Baginda berdua tiba kira-kira jam 8.15 pagi, dengan ditemani dua anakanda, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu dan isteri Dr. Nomee Ashikin ; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Sultan Perak kemudian berkenan memeriksa kawalan hormat terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Divisyen Kem Sangro Taiping, di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Annuar Kaliman.

Acara sambutan bermula dengan bacaan ayat suci al Quran dan doa sebelum nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang dinaikkan.

Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar Hari Kebangsaan kemudian diserikan dengan persembahan koir gabungan empat buah sekolah serta menyampaikan tiga buah lagu iaitu Nyalakan Tekad, Sayangi Malaysiaku dan Jalur Gemilang.

Setelah itu bermulanya perarakan masuk perbarisan 107 kontinjen yang disertai 5,703 peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak.

Antara kontinjen yang menyertai perbarisan berkenaan ialah Lembaga Air Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Perak , Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.

Pada sambutan kali ini,kawalan kehormatan terdiri daripada Pancaragam KD Brassband KD Pelanduk dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.
Dianggarkan seramai 10,000 rakyat negeri ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum menghadiri sambutan berkenaan untuk menunjukkan semangat patriotik masing-masing.