KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke majlis bacaan Yassin dan tahlil sempena sambutan Hari Keputeraan baginda di Masjid Ubudiah di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, barisan exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Bacaan Yassin dan tahlil yang diketuai Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim dimulakan sebaik sahaja keberangkatan Sultan Nazrin kira-kira jam 12.20 tengahari.

Majlis diikuti dengan solat Jumaat yang diimamkan Imam II Masjid Ubudiah, Ustaz Mohd Helmi Ibrahim.

Lebih 1,000 umat Islam di sekitar Bandar Diraja Kuala Kangsar memenuhi setiap ruang Masjid Ubudiah untuk bersama-sama Sultan Nazrin dalam majlis pertama sambutan Hari Keputeraan tahun ini.

Selesai majlis di Masjid Ubudiah, Sultan Nazrin bersama-sama pembesar negeri berangkat ke Makam Diraja Bukit Chandan untuk majlis tahlil.

 Baginda kemudiannya berangkat pulang selepas majlis selesai kira-kira jam 2.15 petang.