KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim telah berkenan mencemar duli berangkat ke Program Pemeriksaan Jantung dan Kesihatan Rakyat di Dewan Jubli Kuala Kangsar pada Sabtu.

Program anjuran Kerajaan negeri Perak bersama Institut Jantung Negara (IJN), Kor Kesihatan DiRaja Kementerian Kewangan dan Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kangsar itu telah menerima kunjungan hampir 2,000 masyarakat setempat dalam kawasan Parlimen Kuala Kangsar.

 

Ketibaan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,. Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu. Datuk Dr Mah Hang Soon yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, Adun Manong, Datuk Mohamad Kamil Safie, Adun Bukit Chandan, Mazlin Sham Razman dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub.

 

Program yang kali pertama diadakan di daerah Kuala Kangsar itu dianggap istimewa kerana pengunjung bukan sahaja berpeluang mendapatkan rawatan pelbagai penyakit secara percuma seperti pemeriksaan jantung, kencing manis dan darah tinggi malah berkesempatan bertemu dan beramah mesra dengan  Sultan Nazrin dan Tuanku Zara.   

 

Pada program itu, Sultan Nazrin telah meluangkan masa baginda bertemu rakyat yang datang untuk membuat pemeriksaan kesihatan manakala Tuanku Zara pula turut meluangkan masa  menjalani pemeriksaan kesihatan di kaunter kesihatan dikendalikan oleh doktor pakar dari IJN, Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi.

 

Program tersebut merupakan program khidmat sosial anjuran IJN yang bermula 10 tahun lalu dan ia merupakan satu inisiatif bertujuan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat atas sokongan berterusan yang diberikan kepada sepanjang 25 tahun ia beroperasi.

 

Inisiatif itu dilaksanakan bagi memperluaskan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk luar bandar yang mempunyai akses terhad untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan jantung di IJN.