Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SUNGKAI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pencapaian sebenar sosioekonomi sesebuah negara dapat dinilai dan dipantau secara holistik melalui statistik.

Baginda bertitah, statistik merupakan rujukan untuk memandu kerajaan ketika proses merangka pelbagai rancangan pembangunan di negara ini.

Titah baginda, statistik mula berperanan dalam pembangunan sosioekonomi di Tanah Melayu dan Borneo seawal tahun 1930-an dan setiap pengumpulan data rasmi perdagangan luar negeri dan pertanian dilakukan sejajar dengan aktiviti pertanian sebagai sumber utama ekonomi negara ketika itu.

“Pengetahuan dan kesedaran berkaitan ilmu statistik sangat relevan di dalam kehidupan masa kini. Justeru diingatkan, statistik terdiri daripada data-data yang dikumpul, digabung, dicantum, diolah, dianalisis dan kemudiannya ditafsiri oleh manusia.

“Pentafsiran yang tidak tepat boleh mengundang kepada berlakunya perancangan yang silap, atau perumusan keputusan yang salah, mengakibatkan berlakunya perancangan yang tidak tepat serta tindakan yang tidak bijak; dan pada akhirnya gagal memenuhi matlamat yang disasarkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian bangunan Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di Sungkai, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, ahli statistik Britain, Sir David John Spiegelhalter memberi peringatan bahawa manusia yang berada di belakang statistik terdiri daripada pelbagai watak dan latar belakang; dan setiap seorang manusia memiliki potensi mentafsir statistik menurut sudut dan lensa masing-masing.

Oleh yang demikian, baginda menegaskan, terdapat tiga faktor yang perlu dihormati untuk membolehkan statistik berupaya berperanan sebagai instrumen yang dapat membantu dan memastikan perancangan dapat dirangka secara tepat dan betul agar tidak akan mencetuskan masalah kepada para pelaksana.

“Pertama, statistik hendaklah dikumpul secara menyeluruh dan komprehensif. Kedua, statistik dibentangkan secara konsisten setelah disemak ketepatan dan kesahihan data dengan teliti dan ketiganya, statistik perlu ditafsiri secara objektif dan jujur tanpa bersifat selektif, tanpa prejudis,” titah baginda.

Bersesuaian dengan perasmian ILSM yang dibina pada 3 Januari 2012, Sultan Nazrin mengingatkan rakyat bahawa statistik dapat membantu manusia dapat lebih mengenali dan memahami keadaan sebenar persekitarannya.

“Pengenalan dan pemahaman terhadap keadaan sebenar, dapat pula membantu manusia merumuskan sesuatu kesimpulan dengan pemilihan yang terbaik, ketika merangka sesuatu program dan ketika merancang sesuatu kegiatan,” titah baginda.

Titah baginda, ahli falsafah Jerman, Gottfried Achenwall mentakrifkan statistik sebagai ilmu tentang negara kerana digunakan pada zaman tersebut dalam urusan pentadbiran khususnya untuk mengukur kekuatan ketenteraan dan kadar cukai bagi tabungan negara.

Titah Sultan Nazrin, kini Malaysia sedang berhadapan ‘Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat’ iaitu gelombang revolusi yang menuntut agar segenap lapisan masyarakat memiliki maklumat yang relevan, tepat lagi terkini.

“Revolusi pantas teknologi maklumat dan komunikasi memberi impak besar kepada teknologi digital dan hampir lima puluh peratus warga dunia berusia lima belas tahun ke atas, menggunakan Internet.

“Ledakan maklumat yang terhasil pada masa ini begitu mudah diakses dalam laman web melalui pelbagai peranti elektronik.

“Gelombang yang dinamakan Big Dat, dikenal pasti sebagai sumber yang berpotensi membantu meningkatkan keupayaan membuat keputusan berasaskan fakta.

“Keadaan ini, bukan sahaja menuntut kepada perlunya proses pengumpulan data dilakukan secara moden dan lengkap, malah menuntut agar penyebarannya dibuat secara segera lagi meluas, disampaikan dengan ringkas, padat dan interaktif, agar statistik yang sahih dapat membantu ke arah merumuskan keputusan yang tepat,” titah Sultan Nazrin.

Turut berangkat pada majlis perasmian itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiringi oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K. Devamany