TAIPING – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Muzium Telegraf di Jalan Stesen di sini, hari ini.

Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui Yayasan Telekom Malaysia (YTM) terus memainkan peranan dalam usaha memelihara seni, budaya dan warisan kebangsaan melalui Muzium Telegraf itu merupakan muzium pertama seumpamanya di dalam negara dan Asia Tenggara.

Pembukaan Muzium Telegraf ini merupakan detik bersejarah bagi YTM selepas Muzium Telekom yang juga dikenali sebagai Muzium Telekomunikasi Negara di Kuala Lumpur pada 1994.

Turut hadir ialah Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Selain itu, hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan YB Dr Aziz Bari,  Pengerusi TM merangkap Pengerusi Yayasan TM (YTM) Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TM Datuk Bazlan Osman.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan meluangkan kira-kira setengah jam melawat bangunan dan melihat artifak-artifak yang dipamerkan di dalam muzium tersebut.

Terdahulu, ketika berucap dalam majlis tersebut, Sulaiman berkata kewujudan muzium ini dijangka akan menjadi tarikan pelancong di negeri Perak khususnya dan di dalam negara amnya.

“Muzium Telegraf ini menampilkan sejarah sistem telekomunikasi telegraf termasuk kejayaan sulungnya di sini dan bagaimana telnologi tersebut telah menyumbang kepada pembangunan negara.

“Dengan pelancaran muzium TM yang kedua ini, TM telah membuktikan komitmennya untuk memelihara warisan bersejarah ini. TM percaya bahawa inisiatif-inisiatif dari YTM seperti penubuhan Muzium Telekom dan Muzium Telegraf ini akan memberi manfaat besar kepada pembangunan negara, selaras dengan peranan unik TM sebagai rakan pembinaan negara.

“Peranan muzium juga telah berubah sejak bertahun lamanya, dengan mengembangkan fokusnya bukan sekadar menyimpan dan mempamerkan khazanah-khazanah bersejarah namun mewujudkan hubungan masa kini dan membuka jendela ke masa hadapan,” katanya.

Bangunan Muzium Telegraf ini dahulunya dikenali sebagai Pejabat Pos dan Telegraf yang ditubuhkan sejak tahun 1885.

“Ia merupakan pejabat pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan telegram, telefon, pos dan kemudahan perbankan sehenti untuk orang ramai pada waktu itu.

“Reka bentuk yang menampilkan seni bina gaya Queen Anne pada era 1880-an hingga 1890-an ditonjolkan melalui gerbang Masonry.

“Ia merupakan salah sebuah bangunan kolonial yang terawal di negeri ini. Ianya dibina oleh Jabatan Kerja Raya, Kerajaan Negeri Perak di bawah seliaan jurutera St. Caufield. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1883 melibatkan kos sejumlah 4,070 Straits Dollars,” kata Sulaiman.

Beliau berkata antara artifak menarik yang dipamerkan di Muzium Telegraf ialah kabel dasar laut tahun 1870 yang merupakan kabel terawal di dunia menggunakan bahan penebat daripada ekstrak pokok Gutta Percha.

“Getah yang terhasil digunakan sebagai penebat kabel dasar laut pertama di dunia pada tahun 1849. Kabel-kabel ini menghubungkan sistem kabel dasar laut dunia dari United Kingdom ke Australia termasuk Pulau Pinang,” katanya lagi.

Sulaiman berkata Muzium Telegraf berperanan sebagai satu ruang yang menyediakan maklumat serta pengetahuan berkenaan sejarah telegaf sejak abad ke-18.

Jabatan Pos dan Telegraf telah memainkan peranan penting terhadap pembangunan sistem telekomunikasi negara. TM melalui YTM bertanggungjawab untuk mengekal dan memelihara khazanah negara kita untuk generasi akan datang.

“Adalah diharapkan supaya kedua-dua Muzium Telegraf dan Muzium Telekom akan menjadi lokasi kepada para pelajar, pengkaji dan masyarakat dari dalam dan luar negara untuk meningkatkan pemahaman mereka mengenai khazanah telekomunikasi negara dan sistem komunikasi telegraf,” tambah beliau.

Warganegara Malaysia boleh membeli tiket masuk ke muzium ini pada harga RM8 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak manakala untuk bukan warganegara Malaysia, harga tiket ialaha RM15.

Pengunjung boleh melawat sekitar muzium untuk melihat alat pemancar telegraf dan alat penerimaan serta peralatan lain yang berkaitan dengan sistem telekomunikasi telegraf pada zaman dahulu sambil menghargai sejarah telegraf dan manfaat yang telah disumbangkan kepada negara sehingga perkhidmatan telegram ditamatkan pada tahun 2012.