TANJUNG MALIM: Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Kebangsaan (SK) Proton City di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

f1bce2fb-17ba-4243-b853-103ea7961f47Dalam lawatan tersebut, baginda turut meluangkan masa mengunjungi pameran mengenai sekolah itu, selain menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

SK Proton City yang dibangunkan di kawasan seluas 4.05 hektar dengan kos RM12 juta, dibina pada 2009 dan siap sepenuhnya pada Mac 2010.

Sekolah itu yang mempunyai 27 kelas, menempatkan seramai 764 murid, 48 guru serta enam kakitangan sokongan.

Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta isteri Datin Seri Saripah Zulkifli, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Aminudin Adam selain Guru Besar SK Proton City, Salmi Ali.

Sementara itu, Aminudin ketika berucap berkata kementerian kini menjadikan konsep Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) sebagai elemen penting Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

“Apabila disebut PAK-21, tergambar dalam fikiran kita sebuah bilik darjah dilengkapi capaian internet sangat laju dan bilangan murid ideal yang diberi kemudahan tablet setiap seorang,”ujarnya.

“Ingin saya tegaskan PAK-21 bukanlah berpaksikan teknologi semata-mata tetapi lebih menjurus kepada pendekatan yang menggalakkan pembelajaran kolaboratif, kreatif, pemikiran kritis dan komunikasi,” katanya.

Aminudin berkata pembinaan sekolah itu mampu merancakkan pembangunan Tanjung Malim sebagai hab automotif bagi koridor wilayah selatan Perak.

“Selain itu, kerjasama dalam kalangan warga pendidik khasnya di sekolah ini amat penting dalam usaha melahirkan insan cemerlang dalam bidang akademik dan juga terbilang dari segi sahsiah dan peribadi,” katanya.