SUNGAI SIPUT: Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.
Dalam lawatan tersebut, baginda turut meluangkan masa mengunjungi pameran mengenai sekolah itu, selain menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Sekitar 10.58 pagi, Lafaz Perasmian diperkenankan oleh Sultan Nazrin Muzzuddin Shah manakala Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut hadir sama dalam peeasmian sekolah tersebut.

SMK Bawong merupakan sebuah sekolah yang dibangunkan di bawah Program Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli di Sungai Siput (U) yang mula dibina pada 25 November 2013.

Dinamakan sempena Kampung Orang Asli Bawong, impian untuk meningkatkan taraf pendidikan masyarakat peribumi itu direalisasikan apabila siap sepenuhnya pada 30 Jun 2016.

Mula beroperasi pada 19 September 2016, SMK Bawong merupakan satu-satunya sekolah menengah harian pertama yang dibina dengan kemudahan asrama lelaki dan perempuan demi memudahkan masyarakat Orang Asli yang menginap di kawasan pendalaman.

Turut hadir, Menteri Besar Perak,YAB MB Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Ghazali Jalal dan Ahli Parlimen Sungai Siput, M.Kesavan serta ADUN Lintang, Datuk Zulkafly Haron.

Sementara itu, Dr Maszlee ketika berucap berkata buat masa ini terdapat seramai 37 orang tenaga pengajar serta 5 orang kakitangan pengurusan yang mengendalikan 369 pelajar di sekolah itu.

“Pendekatan yang menempatkan hampir 100 peratus pelajar Orang Asli ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan dan komuniti luar bandar.

“Selain itu, ianya diharapkan agar peningkatan kualiti hidup dapat dilakukan di kalangan masyarakat Orang Asli dalam melahirkan insan cemerlang dari semua bidang,”katanya lagi.

Harapan Dr Maszlee agar para tenaga pengajar dapat mengamalkan tiga teras utama dalam pendekatan iaitu saling hormat-menghormati, kegembiraan dan kasih sayang sesama kita.

SMK Bawong, menelan kos RM26.3 juta secara keseluruhannya dan mempunyai 20 bilik darjah bagi kegunaan masyarakat Orang Asli setempat.

1/8