KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 daripada 12 syarikat dan agensi yang berjumlah RM14.064 juta.

Penyerahan zakat itu diadakan sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, NGO, Sektor Korporat, GLC dan Belia di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Hadir sama Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu dan beberapa anggota Exco kerajaan negeri Perak.

Dua belas syarikat dan agensi itu ialah Lembaga Tabung Haji Perak (RM3.967 juta); PLUS Malaysia Berhad (RM3.677 juta); Suruhanjaya Syarikat Malaysia (RM3 juta); Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (RM1.28 juta).

Maybank Islamic Berhad (RM648,181.47); Bank Islam Malaysia Berhad (RM373,340); Idaman Pharma Manufacturing Sdn Bhd (RM300,000); RHB Islamic Bank Berhad (RM250,000).

Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM223,486.03); Etiqa Family Takaful Berhad (RM132,000); Aiman Aset Management Sdn Bhd (RM113,000) dan Affin Islamic Bank Berhad (RM100,000).

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Industri dan Luar Bandar negeri, YB Asmuni Awi dan Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Dr Khalid Ismail.