TAIPING: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, negara bangsa adalah konsep kenegaraan yang memperoleh pengesahan politik satu entiti bagi satu-satu bangsa dalam sebuah wilayah berdaulat.

Baginda bertitah, negara bangsa ialah komuniti politik di mana warganya terangkum dalam sebuah wilayah yang mempunyai simbol-simbol kewibawaan yang dijadikan asas untuk memupuk nilai-nilai patriotisme, kebanggaan serta jati diri.

“Membina negara bangsa merupakan satu proses yang kompleks,proses yang rumit dan berterusan,semakin bertambah usia negara, warga bagaikan semakin lebih terpisah.

“Pelbagai istilah penyatuan diperkenalkan, slogan direka cipta, pelbagai logo dilakar, pelbagai lirik dikumandangkan, namun masih tidak memperlihatkan impak keberkesanan menurut yang diimpikan.

“Malah slogan ke arah membentuk warga yang bersatu padu dalam sebuah negara yang merdeka, akhir-akhir ini, lebih banyak menimbulkan keraguan, lebih mengundang kontroversi; semakin dipolemikkan,semakin dipolitikkan,perkembangan ini sangatlah membimbangkan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyempurnakan sambutan ulang tahun ke-135 Muzium Perak di Jalan Taming Sari, di sini pada Sabtu.

Turut mengiringi baginda, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ;Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Raja Muda Musa Raja DiHilir Perak dan Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia,Muhammad Bakhtiar Wan Chik serta barisan Exco kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, institusi muzium berada dalam kedudukan yang dapat memperkenalkan langkah dan kegiatan,membina warga yang bersatu padu serta memiliki akar kesetiaan yang kukuh kepada negara.

Titah baginda, koleksi artifak hanyalah objek kaku sekiranya dipamerkan atau disimpan tanpa penceritaan yang digarap rapi, berasaskan penyelidikan yang teliti.

“Muzium tidak harus dikagumi kerana artifak, ciri estetika atau aura misterinya, tetapi hendaklah mempamerkan bahan dan mempersembahkan urutan peristiwa berupaya membangkitkan nostalgia silam.

“Oleh itu, muzium hendaklah berupaya memenuhi keperluan latar belakang pengunjung yang pelbagai, berfikiran lebih kritikal , serta memiliki tahap literasi dan pengharapan yang lebih tinggi.

“Artifak kaku dan mati wajib dihembuskan nafas, agar artifak itu dapat dihidupkan, berupaya berinteraksi, dirangkaikan, serta memberi pengertian dengan kehidupan semasa,”titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, The National September 11 Memorial and Museum, di New York, dibuka kepada awam pada 21 Mei 2014; dibina untuk memperingati peristiwa pahit yang meruntuhkan World Trade Centre pada 11 September 2001, mengakibatkan 2,977 nyawa terkorban.

“Memorial dan Museum 9/11 berjaya menyentuh hati nurani majoriti pengunjung, terutama warga negara Amerika Syarikat untuk menghayati semangat bersatu teguh,bercerai roboh,”titah baginda.

Muzium Perak, ialah muzium tertua dan pertama di Semenanjung Malaysia, diasaskan pada tahun 1883, melalui idea yang dicetuskan oleh Residen Inggeris, Sir Hugh Low dan siap pada tahun 1910.

Mengikut statistik Jabatan Muzium Malaysia,ketika ini terdapat 189 buah muzium di seluruh negara, di bawah kelolaan Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan serta swasta.

Setelah 135 tahun, bangunan Muzium Perak telah mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Daftar Warisan Kebangsaan dalam kategori bangunan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.