IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan kejayaan kerajaan negeri di dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada negeri ini.

Baginda bertitah, kerajaan negeri Perak berjaya mengurus tadbir negeri sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan rakyat walaupun menghadapi suasana dunia dan negara yang semakin mencabar.

Bagaimanapun, titah baginda, masih banyak yang perlu dan boleh dilakukan melalui kerjasama dan persepakatan yang wajib terus dipupuk di antara rakyat dan kerajaan.

“Beta menzahirkan penghargaan atas kejayaan kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada negeri Perak,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Negeri Yang Ketiga Belas Perak Darul Ridzuan.

Sultan Nazrin bertitah, usaha menarik pelaburan terus dipergiatkan di mana Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencatatkan kelulusan berjumlah RM3.9 bilion melibatkan 55 projek dalam tahun 2016.

Titah baginda, 71.8 peratus pelaburan merupakan pelaburan domestik dan 28.2 peratus adalah pelaburan asing.

“Berdasarkan sasaran Pelan Tindakan Pembangunan Perindustrian Perak (PIDAP), jumlah kemasukan pelaburan pada tahun 2016 melebihi daripada sasaran purata pertumbuhan 7.1 peratus,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, potensi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjana pertumbuhan ekonomi juga terus diterokai.

Baginda turut menyentuh Perbadanan Menteri Besar Perak (PMB) yang telah menerajui sektor pembangunan mineral secara berhemah, mengurus aset negeri secara cekap dan membangunkan semula tapak bekas lombong serta memulihara warisan perlombongan.

“Pelan Tindakan Pembangunan Mineral Negeri Perak yang diuruskan oleh PMB telah menarik minat negeri-negeri lain untuk mempelajari keberkesanan strategi dan pengurusan mineral yang diperkenalkan di negeri ini,” titah baginda.