IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan buku mengenai salasilah Kesultanan Perak dan pelbagai adat istiadat yang bertajuk ‘Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia’ di sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Ngeh Koo Ham, Setiausaha Kerajaan Negeri Zainal Azman Abu Seman serta barisan exco kerajaan negeri.

Buku setebal 960 muka surat itu ditulis oleh Dr Adib Vincent Tung Abdullah, Pengerusi Perak Academy, iaitu sebuah pertubuhan yang dibiayai secara persendirian dengan objektif utama antaranya mempromosikan Perak melalu perbincangan dan penyelidikan.

Karya itu mengisahkan salasilah kesultanan Perak, pelbagai adat istiadat, termasuk istiadat pertabalan Sultan Perak serta kisah kemangkatan Almarhum Sultan Idris Shah dan Almarhum Sultan Azlan Shah.

Penulis Adib Vincent Tung Abdullah.

Adib Vincent ketika ditemui pemberita memberitahu buku itu yang siap sepenuhnya tahun lepas mengambil masa hampir 20 tahun untuk disiapkan kerana perlu menemu bual pelbagai pihak seperti Orang Besar Jajahan serta pihak istana sebelum dipersembahkan kepada Sultan Nazrin untuk diperkenankan.

“Cabaran yang agak sukar dihadapi sepanjang menulis buku ini adalah seperti perlu menterjemahkan istilah yang digunakan kesultanan Perak dalam Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris.

“Antaranya seperti gelaran atau adat istiadat yang memerlukan kajian secara terperinci dan mendalam dengan menemu bual individu yang arif mengenai perihal kesultanan Perak serta membuat rujukan di muzium,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Beliau berkata, buku itu yang dijual pada RM399 senaskah boleh didapati di cawangan Perak Academy di sini.

-FMT