IPOH 19 Okt. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan modul fiqh kesihatan (pemakanan dan kecergasan) dan buku Hadith Nailul Marram Fi Ghazawati Khairil Anam (hadis jihad) yang akan dijadikan sebagai buku pengajian di semua masjid di negeri ini.

Pelancaran modul dan buku tersebut disempurnakan bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam peringkat negeri yang diadakan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini hari ini.

Keberangkatan baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim disambut Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan 31 anugerah kecemerlangan kepada para pelajar dan pendidik serta tokoh guru selain Sijil Pengajian Masjid Negeri Perak yang dianugerahkan kepada 26 penerima.

Kerajaan negeri juga memberikan penghargaan kepada 17 hafiz dan hafizah muda yang telah menghafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk.

Sementara itu Mohd. Yusop ketika ditemui berkata, modul fiqh kesihatan itu akan dijadikan sebagai bahan kuliah di masjid-masjid dengan mengandungi perkara berkaitan kesihatan termasuk aspek penjagaan dan pemakanan.

Katanya, buku hadis jihad yang mengandungi lebih 300 hadis terpilih berkaitan jihad itu pula merupakan usaha pihaknya dalam memberi pemahaman yang jelas kepada masyarakat mengenai konsep jihad yang sebenarnya.

“Kedua-dua modul dan buku hadis jihad ini akan dijadikan kuliah pengajian yang akan dilaksanakan di semua masjid di seluruh negeri secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN ONLINE