TAIPING : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyertai kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2019 peringkat negeri di Dataran Warisan Taiping di sini hari ini.

Turut berangkat ialah dua anakanda baginda iaitu Raja Kechil Besar Perak, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Keberangkatan baginda juga diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Ngeh Koo Ham serta barisan exco kerajaan negeri.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 105 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen Kem Sangro Taiping yang diiringi Brassband KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Majlis sambutan dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa sebelum diikuti oleh nyanyian lagu Negaraku dan upacara menaikkan Jalur Gemilang serta lafaz ikrar Hari Kebangsaan.

Selepas itu, tetamu kenamaan dan pengunjung dihiburkan dengan persembahan koir oleh 90 pelajar melalui gabungan tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, SMK Kampung Jambu dan SMK Klian Pauh yang menyampaikan tiga buah lagu.

Acara kemudian diteruskan dengan persembahan muzikal puisi Srikandi Gelang Emas Merdeka yang mengetengahkan elemen lakonan, deklamasi sajak dan gerak kreatif bagi mengenang Allahyarhamah Siti Rahmah Kassim iaitu wanita pertama bangkit ke hadapan untuk kemerdekaan negara.

Lebih 5,000 peserta mewakili lebih 100 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan perbarisan kali ini yang diwakili oleh jabatan kerajaan, pasukan beruniform, daerah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sekolah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun.

Turut mengambil bahagian ialah pasukan pancaragam sekolah dan kontinjen kenderaan yang disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Pada tahun ini, Taiping diperkenan sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan bagi menzahirkan rasa kesyukuran seluruh rakyat jelata atas kejayaan Bandar Warisan Taiping dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia.

Selain itu, bandar Taiping juga mempunyai faktor signifikannya tersendiri kerana ia merupakan ibu negeri Perak pertama yang dahulunya dikenali sebagai Klian Pauh.