IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat memeriahkan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri di Dewan Bankuet di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir, Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Speaker Dewan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Gazali Jalal, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

 

Sebaik keberangkatan tiba kira-kira jam 10.45 pagi, baginda berdua berkenan melawat 17 gerai makanan, termasuk 12 gerai pejabat daerah yang terdapat di luar dewan.

Selain menikmati juadah, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan kebudayaan.

Antara juadah yang disediakan di gerai-gerai ialah pelbagai jenis bubur, mee, soto, murtabak, sate, lemang, ketupat dan kambing golek.

YAB Ahmad Faizal di dalam ucapannya menjunjung kasih di atas limpah perkenan duli-duli tuanku berangkat ke majlis itu.

Menurut beliau, kehadiran penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada pentadbiran negeri ini adalah sebagai menzahirkan kesetiaan, ketaatan dan rasa kasih sayang terhadap duli-duli tuanku.

 

Bagi pihak rakyat dan penjawat awam negeri Perak, beliau mendoakan agar duli-duli tuanku dirahmati Allah dengan kesejahteraan, dipanjangkan usia dan sihat wala’afiat sepanjang masa.

1/6