Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh, di sini pada pagi Khamis.

IMG-20170831-WA0026

Baginda berdua tiba kira-kira jam 8.25 pagi, dengan ditemani dua anakanda, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

IMG-20170831-WA0039

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Sultan Perak kemudian berkenan memeriksa kawalan hormat barisan Platun 1 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Division Kem Sangro Taiping.

IMG-20170831-WA0028

Acara sambutan bermula dengan bacaan al Quran dan doa sebelum persembahan nyanyian koir dan pancaragam oleh 105 pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Poi Lam ; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet dan SMK Convent dengan lagu Nyalakan Tekad, Sehati Sejiwa dan Jalur Gemilang.

Majlis diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 107 kontinjen yang disertai kira-kira 6,000 peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Antara kontinjen yang menyertai perbarisan berkenaan ialah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.

IMG-20170831-WA0027

Pada sambutan kali ini,kawalan kehormatan terdiri daripada Platun Brassband Gabungan Batalion Rejimen 21 dan 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang dianggotai seramai 120 anggota kesemuanya.

Seramai kira-kira 10,000 rakyat negeri ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum menghadiri sambutan berkenaan untuk menunjukkan semangat patriotik masing-masing.