KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan meraikan kontinjen yang mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XIX, di Majlis Santapan Malam Di Raja di Dewan Santapan, Istana Iskandariah, malam ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu, Speaker Dewan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Menteri Wilayah Persekutuan, YB Abdul Khalid lpppoSamad; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal.

Turut diraikan ialah para petugas yang bersama-sama membantu menjayakan temasya SUKMA XIX yang berlangsung di semua 12 daerah di Perak dari 12 – 22 September.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri), Abd Farid Salleh.

Sepanjang majlis, para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan daripada pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah yang juga Sekolah Seni Perak.