SITIAWAN: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan merasmikan Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut (KPSNMSL) di Kampung Acheh di sini pada Selasa.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri.

Pada majlis itu baginda turut berkenan menukar nama kolej berkenaan daripada Kolej Perikanan Malaysia Lumut kepada KPSNMSL.

Sementara itu, Shabery dalam ucapannya berkata, KPSNMSL yang berkeupayaan menampung 500 pelajar bagi satu-satu masa, dijangka melahirkan kira-kira 2,000 graduan mahir tempatan menjelang tahun 2020.

“Ini sekaligus menyokong pemodenan industri perikanan tangkapan serta akuakultur negara.

“Penubuhan KPSNMSL juga membantu mengukuhkan kedudukan Perak sebagai negeri dengan pendaratan ikan laut tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 367,346 metrik tan ikan bernilai RM2.19 bilion tahun lalu atau 23 peratus daripada keseluruhan pendaratan ikan negara,” katanya ketika berucap dalam majlis sama.

Kolej berkenaan mula dibina pada Februari 2013 dengan kos RM69.8 juta, siap sepenuhnya pada April tahun lalu menawarkan pengajian peringkat diploma dan sijil dengan pengambilan pertama seramai 84 pelajar bagi sesi Julai 2016.