Oleh: Nazialita Geynna Maharan

PANGKOR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Masjid Al Badr Seribu Selawat atau Masjid Terapung yang terletak di Teluk Gadong, Pulau Pangkor.

Keberangkatan Baginda diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sultan Nazrin turut berkenan hadir ke majlis berbuka puasa dan kemudiannya menunaikan solat Maghrib diikuti solat Isyak dan tarawih di masjid berkenaan.

Mula dibina pada 7 Mac 2014, masjid yang diilhamkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir itu mempunyai pelbagai hiasan unik di setiap sudut kemasannya.

Masjid yang kini menjadi mercu tanda terbaharu Pulau Pangkor mengetengahkan kaligrafi 1,000 selawat dan hiasan identiti negeri Perak pada dinding masjid.

Masjid itu yang dibangunkan dengan kos RM11.6 juta siap sepenuhnya pada 12 Oktober 2016.

Sempena perasmian masjid itu, rakyat jelata dari sekitar Pulau Pangkor dan Lumut mengambil peluang berbuka puasa bersama dengan Sultan Perak.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Nizar Zakaria dan Pengerusi Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Terdahulu, Sultan Nazrin telah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Daerah Manjung yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid berkenaan.

Dahulunya, ia dikenali sebagai Maahad Tahfiz Pulau Pangkor yang dibuka pada Januari 2010 dengan pengambilan pelajar seramai 30 orang dan menumpang di Sekolah Rendah Agama di Kampung Masjid.

Sekolah itu yang dibina dengan kos sebanyak RM10 juta adalah SMTDR yang pertama di negeri ini dan siap sepenuhnya tahun lalu serta mampu menampung seramai kira-kira 150 pelajar.

SMTDR Manjung, Pangkor adalah antara lima SMTDR seluruh negeri yang bertaraf asrama penuh dan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Perak.

Selain SMTDR Manjung empat lagi SMTDR yang sedang beroperasi dan dalam pembinaan adalah SMTDR Kerian, SMTDR Batang Padang, SMTDR Kuala Kangsar dan SMTDR Lenggong.