Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Proton City di sini.

Masjid menelan kos sebanyak RM10.4 juta mula dibina pada Mei 2008 dan siap pada 2012.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira jam 6.50 petang disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama-sama pengurusan tertinggi UPSI.

Sejurus tiba, baginda berkenan menanam pokok di perkarangan masjid dan kemudian merasmikan masjid serta menyertai bacaan tahlil dan majlis berbuka puasa ringkas.

Sultan Nazrin kemudian berangkat menunaikan solat Maghrib secara berjemaah dan kemudian menghadiri Majlis Santapan dan Jamuan Makan dan turut berkenan menyampaikan bantuan pada Majlis Penyampaian Bantuan Zakat di masjid berkenaan.

Baginda menyampaikan zakat berjumlah RM187,600 untuk 983 penerima yang disampaikan kepada penghulu-penghulu di dua daerah iaitu Muallim dan Batang Padang.

Selesai menyampaikan bantuan, baginda berangkat menunaikan solat Isyak diikuti solat sunat Tarawih dan menikmati moreh sebelum berangkat meninggalkan majlis. — BHONLINE