IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-13 yang dijadualkan bermula 4 April ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, S Thangeswary berkata, baginda serta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim akan berangkat ke Bangunan Perak Darul Ridzuan sekitar pukul 9.30 pagi sebelum berkenan memberikan titah pada 10 pagi.

Menurut beliau, istiadat pembukaan rasmi dijangka berakhir sekitar pukul 1 tengahari pada hari pertama.

“Persidangan kali ini akan berjalan selama enam hari, berbanding lima hari pada kebiasaannya atas permintaan daripada sesetengah ahli Dewan untuk membahaskan dan membincangkan beberapa perkara dengan peruntukan waktu mencukupi.

“Sesi penggulungan pula akan berjalan pada 10 dan 11 April bermula dengan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri diikuti dengan Menteri Besar,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Selain itu, Thangeswary juga berkata terdapat satu proses pemilihan bagi mengisi kekosongan dua Ahli Dewan Negara, Datuk Lee Chee Leong dan Datuk Hamzah Kassim yang bakal tamat perkhidmatan pada 20 April ini.

Siaran langsung juga boleh dilayari melalui laman web www.suaraperak.com manakala pengguna telefon pintar boleh memuat turun aplikasi bluestream untuk mendapatkan perkembangan terkini persidangan yang bakal bermula Selasa depan.