IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 pada Isnin.

 

Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada jam 9.30 pagi di dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan disambut Yang Dipertua Dewan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.

 

Turut menyambut keberangkatan baginda ialah Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak dengan iringan Pancaragam Polis Di Raja Malaysia Cawangan Kedah dipimpin Inspektor Mohd Noor Effendi Mohd Yusuf dan dibantu oleh Sarjan Mejar Abdul Rashid Abdullah.

 

Sultan Nazrin kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 102 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion Pertama Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta yang diketuai Deputi Supritendan Muhamad Nazri Ramlee.

Selesai istiadat berkenaan, Sultan Nazrin diiringi ke Bilik Diraja sebelum ke Dewan Undangan Negeri untuk menyampaikan titah ucapan perasmian.

 

Baginda memulakan titah ucapan pembukaan mesyuarat pertama jam 10.10 pagi dengan mengupas pelbagai aspek di negeri ini.