KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Masjid Raja Permaisuri Bainun, Perpustakaan Raja Ashman Shah dan Dewan Penginapan Mahasiswa Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) di sini, hari ini.

Masjid Raja Permaisuri Bainun bercirikan kontemporari Melayu Moden setinggi dua tingkat dan dapat menampung kapasiti sehingga 2,000 orang jemaah, dibina diatas kawasan seluas 2,255.4 meter persegi.

Ia mempunyai sebuah pejabat pentadbiran, empat kelas pengajian Fadhu Ain, tandas golongan orang kurang upaya, tempat penyembelihan korban terbuka serta tempat meletak kenderaan.

Perpustakaan Raja Ashman Shah dahulunya dikenali sebagai Perpustakaan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) mula beroperasi di Jalan Dato’ Seri Shaari, Ipoh pada 1999.

Pada tahun 2008, Perpustakaan USAS telah berpindah ke bangunan baru di Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang dilengkapi dengan prasarana yang terkini bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti dapat diberikan kepada pengguna perpustakaan.

Turut hadir ialah Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Selain itu, turut hadir ialah Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu dan isteri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi, Yang DiPertua Dewan Negeri Perak Datuk Ngeh Koo Ham, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Gazali Jalal dan Naib Canselor USAS Profesor Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan meluangkan sekitar setengah jam melihat dan melawat Perpustakaan Raja Ashman Shah dan Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPk.

Baginda turut melafazkan perasmian ketiga-tiga kemudahan, melancarkan gimik pelancaran serta menandatangani plak perasmian.

Terdahulu, ketika berucap dalam majlis tersebut, Nordin berkata USAS berterima kasih kepada semua ahli majlis MAIPk yang bersetuju supaya Dewan Penginapan Mahasiswa tersebut dibiayai oleh MAIPk.

“Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPk telah dibina dengan pembiayaan MAIPk pada 2015. Bangunan dua blok setinggi lima tingkat ini mempunyai sebanyak 75 unit kediaman dengan tiga hingga empat buah bilik, lengkap dengan kemudahan perabot, surau, kafeteria, ruang niaga dan parkir kenderaan serta boleh memuatkan seramai 700 penghuni telah mula diduduki oleh pelajar bermula Januari tahun ini,” kata beliau.

Bangunan tersebut telah dibina oleh Sri Kancil Development dengan harga jualan sebanyak RM13.5 juta.

Nordin juga berharap agar dengan perasmian nama masjid dan perpustakaan tersebut akan mengekalkan hubungan fizikal dan rohani antara USAS dengan keluarga DiRaja Perak secara turun temurun.

“Alangkah berertinya kepada USAS jika suatu hari nanti USAS akan juga menjadi tempat poliha keluarga DiRaja mendapat ilmu pengajian tinggi.

“Apabila hal ini terjadi nanti akan bertambah tinggilah martabat USAS. Untuk itu, dari sekarang USAS hendaklah bekerja keras mempersiapkan diri dengan menyediakan pengajian tinggi yang kualitinya bertaraf dunia,” katanya lagi.