BATU GAJAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan 2018 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf di sini, hari ini.

Ketibaan baginda di sekolah berkenaan disambut dengan paluan kompang dan gamelan diikuti dengan persembahan koir dan pancaragam oleh pelajar di Dewan Sultan Yussuf di sekolah berkenaan.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut mengiringi, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Datuk Mat Lazim Idris dan Pengetua SMK Sultan Yussuf, Zulkafli Mohamed Mokhtar.

Pada majlis berkenaan, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada 129 pelajar cemerlang termasuk 34 bekas calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 24 pelajar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan 41 calon yang memperoleh yang memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sultan Nazrin turut menyampaikan Anugerah Diraja, Pingat Emas Sultan Azlan Shah kepada Mohamad Firdaus Mohamed Yusuf.

Anugerah khas turut dikurniakan kepada lima tokoh dan ikon pelajar yang masing-masing dikurniakan Tokoh Kepimpinan, Ikon Ko-kurikulum dan Ikon Kurikulum.