KUALA KANGSAR: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman mendahului senarai 31 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-61.

Beliau menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) peringkat pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada istiadat yang berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, hari ini.
Darjah kebesaran SPMP turut diterima oleh Pengurus Pos Malaysia Bhd, Tan Sri Dato’ Sri Dr Mohd Khamil Jamil.

Istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran itu telah disempurnakan oleh Sultan Nazrin.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat sama pada majlis tersebut.

Mengiringi baginda ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Majlis penuh istiadat itu bermula dengan keberangkatan masuk Sultan Nazrin dan Tuanku Zara ke Balairung Seri.

Raja Jaafar kemudiannya menghadap mempersembahkan ucapan tahniah bagi pihak Raja-Raja dan Orang Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Manakala, Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan disampaikan kepada empat penerima, antaranya ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak, Datuk Rusnah Kassim dan Datuk Samsudin Abu Hassan.

isitiadapengurniaan 4

Seramai 23 individu diperkenankan menerima gelaran Datuk iaitu tiga penerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) Dan 20 penerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP).

Antara penerima anugerah DPMP ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, S Thangasvari; Pengarah Pendidikan Perak, Mat Lazim Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Dr Amiruddin Muhammed.

Dalam pada itu, pemenang pingat emas dan pemegang rekod acara lompat kijang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Muhammad Hakimi Ismail dan pemain bola sepak Perak, Mohamad Nasir Basharudin menjadi antara 65 penerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).
Turut menerima darjah kebesaran itu ialah bekas atlet olahraga yang pernah bertanding di Sukan Olimpik Seoul 1988, Josephine Mary dan pemenang pingat emas rejam lembing Sukan SEAP 1961 di Myanmar, Ng Kah Liew.

Bagi darjah kebesaran lain termasuk empat penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 28 menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 10 menerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM).

Penerima pingat pula terdiri daripada 92 penerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 96 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan empat menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).