IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira jam 8.36 pagi disambut exco kanan kerajaan negeri, Asmuni Awi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Abu Seman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, Dr Abdul Aziz Bari, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan ketua-ketua jabatan.

Solat sunat Aidiladha dipimpin Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan al-Hafiz.

Lebih 1,500 rakyat jelata hadir bersama-sama menunaikan solat sunat itu.

Selesai solat sunat, baginda kemudiannya bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir.