IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,500 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Muda Musa Mahadi, di sini, pagi ini.

Baginda tiba di masjid itu jam 8.40 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan EXCO kerajaan negeri.
sultan-solat 4

Turut menunaikan solat di masjid berkenaan ialah Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Kecil Sulong, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.

Solat sunat berkenaan diimamkan oleh Imam Utama, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan.

Sebaik selesai menunaikan solat sunat jam 9.15 pagi, Sultan Nazrin meluangkan masa bersalaman dengan jemaah lain sebelum berangkat ke Majlis Sambutan Aidiladha bersama kerabat diraja dan orang kenamaan di Istana Cempaka Sari, di sini.- BERITA HARIAN ONLINE