IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur sikap segelintir orang Melayu yang baru mula menikmati sebahagian kecil daripada kejayaan berbanding dengan kejayaan lebih besar yang dicapai kaum lain, semakin menunjukkan sifat-sifat lupa daratan.

Baginda bertitah, sikap sedemikian ibarat mengulangi budaya kehidupan pada era pra-penaklukan Melaka oleh Portugis yang hanyut dalam perlumbaan kebendaan dan semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.

“Dibimbangi kekayaan yang baru berada dalam pegangan Melayu mungkin berakhir dalam tempoh masa yang singkat selagi orang Melayu lebih tertarik dengan budaya berbelanja mewah untuk mencerminkan imej sosial, berbanding menabung dan melabur untuk membina aset bangsa yang lebih besar bagi jangka masa panjang,” titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Isnin.

Turut berangkat pada muzakarah yang bertemakan ‘Mengakar Kuat Umat Melayu, Menjunjung Tinggi Islam’ adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sultan Nazrin bertitah, orang Melayu kini sedang berada dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri, masing-masing ghairah menepuk air di dulang, dan semakin terpercik ke muka sendiri.

Titah baginda, dalam kesyukuran mencipta kejayaan, orang Melayu tidak boleh mengambil ringan perbuatan salah laku sebahagian anak bangsanya, laksana anai-anai yang boleh meruntuhkan bangsa.

Baginda bertitah, bahawa dasar-dasar murni yang digubal untuk membantu Melayu, tidak tercapai sepenuhnya kerana terbukti berlaku ketirisan secara besar-besaran.

“Hari ini maruah bangsa semakin diaibkan dengan perbuatan rasuah, pecah amanah, penipuan dan salah guna kuasa.

“Sewajarnya bangsa berwaspada dengan titik-titik nila yang akan memusnahkan susu sebelanga,’’ titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah, bangsa Melayu yang terus bercakaran tidak akan menjadi bangsa yang kuat dan umat Islam yang terus berkonflik tidak akan berupaya menjunjung ketinggian Islam.

“Semoga Allah mengukuhkan kekuatan dalaman umat Melayu untuk cekal melakukan yang makruf dan gigih mencegah yang mungkar serta ditunjukkan jalan yang mendapat keredaan-nya,’’ titah Sultan Nazrin.

Baginda turut menyentuh mengenai kepakaran pelbagai bidang yang perlu dimiliki orang Islam untuk merealisasikan Islam sebagai addin.

Titah baginda, masjid diakui berperanan penting sebagai pusat induk untuk memperkembangkan Islam tetapi masjid wajib mempunyai pengisian program yang lebih komprehensif.

“Ulama dan umara wajib bersifat proaktif, menerokai kawasan-kawasan di luar pekarangan masjid kerana bumi Allah ini tidak membatasi kerja-kerja amal makruf di lakukan di dalam pekarangan masjid sahaja.

“Islam tidak akan dapat dijulang melalui rupa bentuk dan keindahan masjid jika masjid berfungsi sekadar ornamen hiasan,’’ titah Sultan Nazrin.