IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan setiap masjid di seluruh negeri mengadakan solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat sepanjang Ramadan tahun ini.

Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Dr Amiruddin Muhamed berkata, titah itu dikeluarkan untuk memenuhi keperluan kariah di kawasan masing-masing yang ingin melaksanakan solat Tarawih 20 rakaat.

“Para makmum yang berhasrat menunaikan solat sunat Tarawih kurang daripada 20 rakaat, boleh berbuat demikian mengikut pilihan masing-masing.

“Tetapi setiap masjid diwajibkan memenuhi tanggungjawab untuk menyediakan imam dan bilal bagi memimpin solat sunat itu sehingga genap 20 rakaat, setiap malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Dr Amiruddin, Sultan Nazrin turut bertitah agar solat sunat Tarawih diutamakan dan ditunaikan sebaik selesai solat sunat Rawatib (mengiringi solat Isyak).

“Oleh itu, kegiatan tazkirah di waktu antara solat sunat Rawatib dan antara rakaat-rakaat semasa solat sunat Tarawih adalah dilarang,” katanya. – Bernama