IPOH 24 Jun – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan berangkat menghadiri majlis perkahwinan anak Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan di Brewster Village di sini hari ini.

Ketibaan baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada pukul 12 tengah hari disambut Hasnan dan isteri, Datin Zuriani Mohd. Kamal.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal; Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. dan barisan exco kerajaan negeri.

Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa hampir sejam bersantap bersama pasangan mempelai, Mohd. Akmalhakimi dan Nurul Fatin Syazwani Arshad serta keluarga kedua belah pihak dan tetamu.

Kira-kira 1,000 jemputan menghadiri majlis perkahwinan itu yang turut dihadiri bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Mohd. Akmalhakimi dan Nurul Fatin masing-masing berusia 28 tahun diijabkabul pada 22 April lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur. -UTUSAN ONLINE