BIDOR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak,Tuanku Zara Salim, berangkat menghadiri dan memeriahkan Majlis Santapan sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2018 di SJK (C) Chung Hua 2, Bidor, di sini pada malam Sabtu.

Baginda berdua tiba sekitar jam 8.35 malam disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Turut berangkat, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

sultan nazrin- cny- bidor3Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudian bersama kerabat dan pembesar negeri menggaul “yee sang” di pentas utama sebagai tanda simbolik meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.

Malah, baginda berdua turut meluangkan masa menyampaikan “ang pau” kepada kanak-kanak pelbagai kaum yang tidak melepaskan peluang keemasan bersalaman serta menerima paket merah pada majlis berkenaan.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk S Thangeswary, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Kira-kira 5,000 rakyat pelbagai kaum hadir memeriahkan sambutan itu dalam suasana penuh harmoni.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Cina antaranya tarian singa, tarian kaum Dai, tarian kaum Wan, persembahan wushu, tarian kaum Jin Po dan tarian kaum Yi yang berasal dari China.